Marriage?diskusi secara formal.
KONSEP PERKAHWINAN DALAM ISLAM
Indahnya
perkahwinan boleh dilihat dari pelbagai sudut dan persepsi. Begitu juga dari
segi maksudnya. Perkawinan atau nikah ialah berkumpul atau campur sementara
menurut istilah syarak pula bermaksud aqad yang menghalalkan persetubuhan
antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan
yang ditentukan oleh Islam. Allah s.w.t menghalalkan perkahwinan dan
mengharamkan zina. Oleh itu,Allah ciptakan manusia itu berpasang-pasangan dan
telah ditetapkan siapa orangnya. Dalil dari surah Yasin ayat 36, "Maha
Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada
dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka
tidak mengetahuinya." Jadi karangan ini akan berfokuskan kepada dua
perkara iaitu kepentingan kehidupan berumahtangga dan lima akibat buruk
golongan yang membelakangi institusi kekeluargaan.
Perkahwinan penting untuk mencari keredhaan
Allah. Nikah atau perkahwinan merupakan satu ikatan yang menguatkan rasa
inginkan keredhaan Allah. Allah titipkan dalam hati umat manusia kasih sayang
dan naluri. Naluri untuk berteman adalah diciptakan oleh Allah. Lalu Allah
menghalalkan perkahwinan supaya manusia mengingati Allah dan mendekatkan diri
kepada Allah. Dalam kalamullah ada menyebut. "Ya Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai
penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa." (Surah
Al-Furqan ayat 74). Berdasarkan mafhum ayat ini, jelas sekali Allah memberi
ketenangan dan keredhaan kepada orang-orang yang membina baitul muslim. Allah
memberikan jodoh terbaik kepada hambanya untuk saling melengkapi sebagai
contoh isteri-isteri dianugerahkan kepada
kaum Adam sebagai penyenang hati,peneman hidup manakala wanita-wanita pula
dianugerahkan suami sebagai pembimbing dan imam bagi mereka. Oleh itu, jelaslah
bahawa perkahwinan merupakan salah satu cabang untuk mendapatkan keredhaan
Allah dan mendaki tangga menuju ke jannah.
Setiap yang berlaku sentiasa mempunyai hikmah
tersendiri dan Allah S.W.T. menjanjikan yang terbaik untuk hamba-hambanya.
Jodoh, pertemuan, ajal dan maut, hanya Allah Maha mengetahuinya. Allah membalas
permintaan hambanya melalui tiga cara. Pertama, Allah menunaikan permintaan
hambanya dengan cepat, kedua, Allah melambatkan permintaan seorang hamba untuk
menguji dan menduga hambanya dan yang terakhir, Allah tidak menunaikan
permintaan tersebut kerana ingin memberikan sesuatu yang lebih baik untuk
hambanya. Jadi, sebagai seorang hamba Allah, sewajarnya muslim atau muslimah
itu dapat menjaga kehormatan dan menundukkan pandangan mereka melalui
perkahwinan.Seterusnya, dalam usaha untuk membina ikatan perkahwinan yang utuh
antara seorang lelaki dan perempuan, pemilihan calon mengikut kriteria yang
dianjurkan oleh Islam adalah pilihan terbaik. Umum mengetahui bahawa lelaki itu
ialah amir(ketua) dan imam bagi sesebuah keluarga yang bakal dimiliki dan Islam
menggariskan beberapa piawaian pemilihan calon suami. Antaranya ialah beriman
dan bertakwa kepada Allah S.W.T, berkemampuan, bertanggungjawab terhadap semua
benda, memiliki akhlak-akhlak yang terpuji, berilmu agama agar dapat membimbing
bakal isteri dan anak-anak ke jalan yang benar, tidak berpenyakit yang berat
seperti gila, AIDS dan sebagainya dan rajin berusaha untuk kebaikan rumahtangga
seperti mencari rezeki yang halal untuk kebahagiaan keluarga. Kriteria-
kriteria yang berpandukan ajaran agama Allah ini berlandaskan kalamullah dan
sunnah Rasullah ini mempunyai sebab-sebab tersendiri yang logik jika difikirkan
dengan akal dan mata hati. Seorang mukmin yang soleh iaitu beriman dan bertakwa
kepada Allah akan mampu mendidik isteri dan anak-anaknya ke jalan Allah
seterusnya membawa ke syurga Allah di akhirat kelak. Seorang muslim yang soleh
akan memilih perkahwinan sebagai cara menjaga kehormatannya sebagaimana disebut
dalam hadis riwayat Ahmad Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah yang
bermaksud:“Wahai permuda-pemuda; barang siapa diantara kamu bernikah, maka
hendaklah ia bernikah, yang demikian itu amat menundukkan pandangan dan amat
memelihara kehormatan, tetapi barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah
berpuasa kerana puasa itu menahan nafsu.”
Selari dengan itu, garis panduan yang ditetapkan
untuk calon isteri tidak kurang hebatnya. Sebagaimana yang kita ketahui, Islam
menggariskan empat perkara tentang pemilihan calon isteri iaitu agamanya,
keturunannya, kecantikannya da hartanya.
Sabda Rasulullah s.a.w., “Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara,
kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan keagamaannya. Maka utamakanlah
yang beragama, nescaya kamu akan mendapat kebahagiaan.” Penegasan terhadap
keutamaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
"Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara
diri di belakang suaminya oleh kerana Allah telah memelihara mereka".
Perkara ini perlu ditekankan kerana isteri yang mempunyai pegangan agama yang
kuat akan sentiasa taat kepada suaminya dan akan sentiasa memelihara kehormatan
dirinya. Seterusnya, ciri-ciri seperti kecantikan merupakan pendorong kepada
kemesraan dan juga kecintaan suami terhadap isteri. Manakala keturunan pula,
pilihan sewajarnya keatas wanita yang berpotensi untuk melahirkan zuriat yang
ramai kerana zuriat akan menjadi penyumbang kepada kebahagiaan rumahtangga dan
lambang kasih sayang suami isteri. Rasulullah sesungguhnya menyukai umatnya
yang ramai di akhirat nanti. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “"Kamu
kahwinilah perempuan yang penyayang dan boleh melahirkan anak yang ramai kerana
aku bangga dengan umatku yang ramai di hari Akhirat kelak". Harta merupakan yang terakhir kerana
sebaik-baik wanita yang dinikahi ialah wanita yan tercantik dan paling rendah maharnya. Sabda baginda
lagi, "Sebaik-baik isteri ialah yang tercantik rupa parasnya dan ringan
maharnya" Allah memberi rezeki berkali ganda dengan perkahwinan yang
sederhana dan mampu menjadikan seseorang itu miskin apabila dia berkahwin atas
sebab harta seorang wanita. Hadis riwayat Ibn Hibban, "Tetapi barangsiapa
yang mengahwini perempuan bukan dengan tujuan yang lain melainkan untuk mengawal
dan menjaga pandangan atau penglihatannya dan menjaga kehormatannya atau dengan
tujuan menghubungkan silaturrahim Allah akan memberkati ke dua-dua lelaki dan
perempuan". Begitu juga pemilihan pasangan hendaklah tidak terdiri
daripada kaum kerabat yang dekat. Rasulullah bersabda yang memberi makna, "Janganlah
kamu berkahwin dengan sanak saudara kerana ia akan melahirkan anak yang
berbadan kurus, lemah dan kurang mampu berfikir".
Bertitik tolak dengan itu, terdapat pelbagai
akibat buruk kepada golongan yang membelakangi institusi kekeluargaan.
Pertamanya, berlakunya perbalahan dalam kalangan ahli keluarga. Institusi
kekeluargaan merupakan faktor paling penting dalam membentuk seorang individu
yang berakhlak mulia. Asas bagi pendidikan juga bermula daripada rumah yang
merujuk kepada institusi kekeluargaan.Maka, perbalahan atau perselisihan faham
akan berlaku antara ahli keluarga sekiranya mereka membelakangi institusi
kekeluarga seperti yang terjadi di Barat. Mereka bersifat individualistik dan
terlampau berfikiran terbuka sehingga tingkah laku anak-anak tidak begitu
dititik beratkan. Malah, anak-anak mereka hanya memanggil mereka dengan nama
bukanlah panggilan seperti “ibu,ayah”. Perbalahan wujud daripada variasi sebab
seperti membuat keptusan sendiri tanpa berbincang dengan anggota keluarga
terlebih dahulu. Apabila ibu bapa berkecil hati dan saudara-saudara tidak
bersetuju, maka timbullah perbalahan.
Kedua, nilai
perkahwinan dipandang rendah. Betapa rendahnya perkahwinan di mata fikiran
masyarakat di Barat apabila mereka lebih selesa untuk tinggal bersama tanpa
mempunyai ikatan yang sah. Bagi mereka perkahwinan hanya satu tali yang bakal
mengikat mereka dan walaupun tanpa perkahwinan mereka masih boleh bersama. Hal
ini terjadi apabila manusia jahil tentang agama. Islam menggalakkan perkahwinan
bagi mengelakkan wujudnya pelbagai jenis penyakit dan bertambahnya anak luar
nikah yang tidak berdosa. Tanpa sesiapapun sedari pelbagai penyakit yang datang
adalah daripada perlakuan manusia itu sendiri. Mentaliti mereka mengenai
perkahwinan ialah suatu ikatan yang akan membuatkan anda terikat dengan seorang
perempuan sahaja sedangkan Islam memberikan pelbagai kemudahan(rukhsah) dan
kelebihan jika berpoligami atas sebab-sebab yang diharuskan sesebuah
perkahwinan itu. Islam tidak bertindak kejam apabila membolehkan poligami kerana
mempunyai hukum dan syaratnya.
Seterusnya,berlakunya perbuatan terkutuk seperti
maksiat dan zina. Megambil contoh masyarakat di Eropah, seawal usia 18 tahun,
anak-anak remaja mereka bebas untuk tinggal berasingan daripada ibu bapa dan
seolah-olah tidak mempunyai ibu bapa kerana mereka tidak bertanya khabar
mahupun saling berkunjung antara ibu bapa dan anak-anak. Usia remaja adalah
zaman yang paling mencabar dalam tangga kehidupan kerana remaja mempunyai
fikiran yang cetek, tidak matan dan rasa ingin mencuba sesuatu yang baru sangat
tinggi. Apabila mereka tinggal berasingan daripada kedua ibu bapa, mereka bebas
untuk melakukan apa sahaja tanpa pengawasan dari orang yang lebih tua malah ada
di antara mereka yang memilih untuk duduk sebumbung dengan pasangan
masing-masing. Tanpa sebarang ikatan yang sah, mereka terdorong untuk melakukan
zina dan akhirnya lahirlah lebih ramai anak-anak luar nikah ke dunia. Gejala
sosial seperti pergaulan bebas juga tidak terkawal di Barat. Mereka tidak
terikat dengan apapun yang melarang mereka daripada bergaul,tidur bersama,minum
arak dan lain-lain lagi. Jelaslah bahawa keruntuhan akhlak dan moral terjadi
apabila membelakangi institusi kekeluargaan.
Selain itu, membelakangi institusi kekeluargaan
juga boleh mencipta jurang antara generasi dan menghakis budaya sesebuah kaum.
Jika dilihat kepada zaman pemodenan kini, negara Malaysia sudah mula menerima
impak penghakisan budaya apatah lagi di negara-negara Barat. Budaya Barat
semakin menular ke jiwa remaja kini yang menyebabkan remaja hilang tujuan.
Budaya yang mereka amalkan lebih kepada kebebasan yang menghapuskan tatasusila
dan adab sopan generasi dahulu. Kini, kepelbagaian budaya seperti sambutan
perayaan,berkumpul bersama-sama ahli keluarga,masakan tempatan kebanyakannya
masih diamalkan oleh generasi tua sementara generasi yang lebih muda memilih
untuk melakukannya bersama-sama rakan ataupun bersendirian. Hilangnya budaya
sesuatu kaum dan berubahnya seseorang insam itu bukanlah kerana sesuatu yang
lain melainkan dirinya sendiri. Ada disebut dalam Al-Quran Karim, mafhumnya,
“Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum, melainkan mereka sendiri yang
mengubahnya.” Berubah tidak bermakna kepada sesuatu yang buruk sahaja. Bahkan
berubah kearah kebaikan juga merupakan satu jihad yang besar Cuma manusia yang
jarang memilihnya.
Sebagai konklusinya, Islam mengajar dan memberi
panduan hidup yang cukup lengkap untuk penganutnya ikuti. Semua tatacara,adab
sopan dan panduan yang disarankan oleh Islam mempunyai sebab tersendiri dan
telah tertulis dalam Kitab suci Al-Quran. Aturan dan susunan perkahwinan juga
mengikut urutan dan digalakkan oleh agama. Rasulullah bersabda yang
diriwayatkan oleh Al-Bukhari maksudnya, “"Perkahwinan itu Sunnahku,
sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku".
Sedangkan Rasulullah sendiri berkahwin inikan pula manusia biasa. Sebagai umat
Islam,kita seharusnya mengikut ajaran Islam bukan sahaja dari aspek perkahwinan
dan kematian. Sebelum berkahwin,seseorang muslim itu perlu tahu hikmah
perkahwinan dan memilih calon yang sesuai supaya kebahagian rumah tangga dapat
dikekalkan hingga ke akhirnya. Sekiranya ingin mendapatkan anak yang soleh dan
solehah memerlukan amal ibadat ibu bapanya selama 20 tahun sebelum
itu,perkahwinan juga perlukan persediaan yang rapi. Sebagaimana besarnya hikmah
perkahwinan, begitu juga besarnya dugaan yang datang. Tanpa iman yang kukuh
pelbai akibat boleh berlaku seperti akibat membelakangi institusi kekeluargaan.
Oleh itu,kita seharusnya belajar dari kesilapan yang lalu dan memperbaiki
kelemahan diri untuk kebaikan pada masa akan datang.
indahnya Islam..<3
Comments
Post a Comment